Tuesday, July 19, 2011

Dekorasi Diri Anda


Pengalaman belajar di UiTM Shah Alam dalam bidang Reka Bentuk Dalaman banyak mempengaruhi minat dan jiwa saya. Banyak yang saya pelajari walaupun cuma dua semester, cukup memahamkan saya tentang konsep asas Reka Bentuk atau dalam bahasa yang mudah difahami, 'Design'. Dalam Design, apa yang penting adalah Ruang atau 'Space'. Ini adalah konsep asasnya. Yang menjadikan ruang kita luas, redup, ceria dan sebagainya disebabkan oleh ruang dan cara kita mengolah dan memaksimakan penggunaan ruang. Saya masih ingat lagi tugasan yang perlu saya lunaskan iaitu dengan merekabentuk satu ruang yang kosong berbentuk segi empat tepat untuk diisi dan dimanfaatkan sepenuhnya ruang yang ada. Yang penting ruang tersebut praktikal dan boleh dimanfaatkan oleh penggunanya. Saya masih ingat lagi, cabarannya cukup besar kerana ruang yang diberikan cukup terhad. Saya dikira telah berjaya memanfaatkan ruangan yang ada dengan membuat ruang dapur yang praktikal yang mana tidak memerlukan meja makan, hanya menggunakan 'island', istilah yang digunakan dalam 'interior design' di mana 'island' ini mempunyai banyak fungsi (multifunctional) iaitu untuk membuat kerja dapur, memotong sayur dan sebagainya disamping boleh menjadi tempat untuk makan yang tidak formal.

Tulisan kali ini bukan semata-mata mengupas tentang pengetahuan saya yang masih cetek dalam bidang 'interior design', tetapi saya cuba untuk mengaitkannya dengan pembinaan insan, pembinaan aqal dan pembinaan jiwa berlandaskan al-Quran dan al-Hadith. Terdetik ingin menulis setelah menonton "The Oprah Show" yang membincangkan tentang ruang. Mengikut apa yang saya pelajari dalam 'interior design', ruang adalah perkara paling asas dan penting. Ia dapat membina persepsi dan perspektif seseorang mengenai sesuatu perkara. Ruang juga menjadikan seseorang itu dapat berhubung dengan ruang-ruang yang ada yang dapat mewujudkan rasa dan emosi. Justeru, manusia juga mempunyai ruangnya. Allah menciptakan manusia ini penuh dengan hikmah. Apabila membaca satu buku karya Imam al-Ghazali, "Wonder of Heart" dalam bahasa Inggeris, manusia mempunyai empat 'ruang' penting atau elemen iaitu Roh, Nafs (Jiwa), Aqal dan Qalb (Hati). Setiap ruang ini perlu diisi dan dimanfaatkan sepenuhnya. Perlu 'didekorasi' dengan baik berlandaskan al-Quran dan al-Hadith serta akhlak Islamiah. Oleh yang demikian, kaedah dan cara 'dekorasi' itu sangat penting, perlu dilaksanakan dengan hikmah agar ruang tersebut berada ditempat yang wajar di mana setiap ruang tersebut memenuhi peranan yang telah diatur oleh Perekanya. Seperti yang pernah diperkatakan oleh Prof. Dr. Muhammad Syed Naquib Al-Attas, ilmuwan tersohor bahawa adil itu bermakna meletakkan sesuatu di tempat yang sewajarnya, maka ruang yang wujud harus diletakkan ditempat yang betul, dalam peranan dan tanggungjawab yang wajar dan sesuai, bukan diluar kapasiti atau tidak dapat berperanan dalam ruang tersebut. Dalam konteks insan, peranan dan tanggungjawab yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada kita harus dilaksanakan mengikut syariat yang telah Allah tetapkan dan sunnatullah itu sebagai satu fitrah yang ada dalam setiap ciptaanNya.

Seperti ruang tamu, harus dihiasi dan didekorasi dengan sofa dan kerusi yang bersesuaian, mengikuti kepada citarasa penggguna tetapi masih dibatasi dengan peranan ruang tersebut iaitu untuk pengguna tersebut istirehat dan mengeratkan silaturrahim. Bilik bacaan harus didekorasi dengan almari buku, meja bacaan dan lampu bacaan sesuai dengan kewajaran dan peranannya dalam ruang tersebut. Bilik tidur yang harus didekorasi dengan katil, almari baju, meja berhias dan sebagainya agar ruang tersebut selesa untuk penggunanya untuk tidur. Seorang insan juga harus 'mendekorasi' dirinya, harus memenuhi empat ruangan utama yang telah Imam al-Ghazali nyatakan. Rohnya harus 'didekorasi' dengan tauhid, kerinduan kepada Yang Maha Esa serta memenuhi fitrah sebagai seorang insan yang cenderung kepada kebenaran. Nafs (Jiwa) 'didekorasi' dengan jiwa mut'mainnah, jiwa yang sentiasa mengingatiNya pada setiap detik, masa dan ketika. Aqal 'didekorasi' dengan ilmu yang benar, yang membawa kepada makrifatullah, kepada mengenal Tuhan Yang Maha Pencipta. Qalb (Hati) 'didekorasi' dengan cahaya keimanan (nur iman) dan ketauhidan kepada Yang Maha Esa yang membawanya kepada kebenaran hakiki, yang memandu kehidupan sehariannya dengan matlamat kehidupan sebagai hamba (Az-Dzariyat: 56) dan khalifah di muka bumi (Al-Baqarah: 30). Dihiasi dengan Fikir dan Zikir (Berfikir tentang hikmah ciptaan Allah s.w.t dan mengingati Allah dengan sentiasa berzikir, tadabbur al-Quran). Ibadah itu tidak cuma terbatas dengan solat fardhu dan sebagainya, malahan apa yang kita lakukan termasuk mengemaskini status di Facebook (dalam konteks masa kini) di kira sebagai ibadah jika kita memanfaatkannya dengan sewajarnya dengan memberikan nasihat dan peringatan serta memberi khabar gembira (Bashira Wa Nazira). Yang penting adalah niatnya. Dalam Hadith Arba'in (Hadith 40) karya Imam Nawawi, bab pertama yang dibincangkan adalah berkenaan dengan niat. Niat kita harus ikhlas disandarkan kepada Rabbul Izzati.

Begitu seorang insan yang ada peranan dan tanggungjawab harus 'mendekorasi' dirinya, memenuhi ruangnya dengan tanggungjawab dan amanah yang telah digalaskan kepadanya oleh Rabbul Izzati. Maka kita harus patuh kepada Pencipta kita yang Mencipta kita dengan penuh kesempurnaan. Oleh yang demikiran, saya menyeru diri saya dan sahabat-sahabat untuk memenuhkan ruang tersebut dengan penuh amanah dan dedikasi, sesuai dengan kewajaran dan peranannya agar kita dapat menjadi insan yang menjadi Qudwatun Hasanah, contoh kepada yang lain yang menggalas tanggungjawab tersebut dengan penuh sabar dan redha.


*Sudah lama tidak menulis. Sekiranya ada kesilapan dalam penulisan ini harap dapat diperbetulkan.

Tuesday, August 31, 2010

Andai Ini Ramadhan Yang Terakhir Buatku

Andai ini Ramadhan yang terakhir buatku
Akan ku pastikan nikmat yang dikurniakan Allah ini di manfaatkan sebaik-baiknya
Untuk ku bersihkan hati sanubari ku
Untuk ku perbaiki amalan ku
Untuk ku muhasabah semula kehidupan yang telah ku penuhi dengan noda-noda.

Andai ini Ramadan yang terakhir buatku
Pasti aku bersungguh-sungguh
Mengerjakan segala amal ibadah dan amal kebajikan
Seolah-olah hari ini adalah hari terakhir ku
Menghirup udara segar sebelum meninggalkan dunia yang fana ini

Andai ini Ramadan yang terakhir buatku
Pasti aku tidak lepaskan peluang
Untuk ku menghayati isi kandung al-Quran
Untuk ku memahami maksud tersurat dan tersirat
Kerana al-Quran itu petunjuk buat orang mukmin agar tidak sesat jalan
Kerana al-Quran itu tiada keraguan padanya

Andai ini Ramadan yang terakhir buatku
Pasti aku menghidupkan setiap malam ku
Dengan tangisan kerinduan
Merindui Yang Maha Khalik
Mengadu kepadaNya, bermunajat kepadaNya
Memohon keampunan dan maghfirah daripadaNya
Sebelum kembali bertemu denganNya

Andai ini Ramadan yang terakhir buatku

Tuesday, August 3, 2010

Masa Depan Generasi Net

MASA DEPAN GENERASI NET

Oleh

Mohd Zikri Zainudin,

Pelajar Tahun Akhir Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kaunseling),

Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) Kampus PINTAR Sabah

*Kertas kerja ini dibentang


Pendahuluan

Beberapa generasi sudah berkembang dan kini sudah mencapai generasi Net. Generasi sebelum ini dikenali sebagai generasi X (1965-1976). Generasi Y (1977-1999) menurut Don Tapscott adalah generasi Net. Menurut Don Tapscott, Generasi Net adalah satu generasi yang mempunyai banyak kemudahan teknologi yang pesat di mana berlaku ledakan maklumat yang pantas dan tepu[1]. Generasi ini juga adalah generasi yang banyak menggunakan alat teknologi untuk berhubung dan berinteraksi antara satu sama lain. Pengunaan telefon bimbit, Personal Digital Asistant (PDA), iPod, iPhone dan sebagainya menjadi rutin harian yang tidak boleh ditinggalkan. Malahan ada yang sanggup mengeluarkan belanja lebih untuk memiliki teknologi ini. Pastinya dengan adanya teknologi ini mempunyai kebaikan dan keburukan. Namun begitu bergantung kepada individu untuk memikirkan kesan dan akibat daripada penggunaan teknologi berlandaskan ilmu yang benar dan penggunaan yang benar untuk membawa kepada kesejahteraan sejagat.

Menurut Ustaz Hasrizal Jamil (Saiful Islam.com) menyatakan bahawa ini adalah generasi iPod yang menggunakan bahasa iPod, bahasa yang hanya difahami oleh generasi Net kini. Maka apabila dilihat, maka banyak cabaran yang dilalui oleh generasi Net ini jika kita melihat impak pada masa akan datang. John Kotter dalam bukunya ‘Our Iceberg Is Melting: Changing and Succeeding Under Any Conditions’ menyatakan bahawa untuk mendepani cabaran yang mendatang, maka persediaan awal perlu dibuat dan perlu dirancang agar cabaran tersebut dapat diatasi dan diselesaikan. Persediaan minda, jiwa, rohaniah dan fizikal dapat menghadapi cabaran sangat perlu untuk kita mudah mengubah sesuatu keadaan. Maka perubahan sangat perlu ditekankan untuk menghadapi kemungkinan yang tidak menentu[2].

Cabaran Generasi Net

Menurut Don Tapscott, generasi Net ini bakal menghadapi beberapa cabaran utama. Antaranya yang sudah dirasai kini oleh generasi Net adalah terlalu selesa dengan keadaan dan persekitaran semasa membuatkan generasi Net ini kurang peka terhadap isu semasa dan menebalnya sikap ‘Tidak Mengapa’. Ini menyebabkan generasi Net kurang idealisme dan kurangnya rasa simpati terhadap masalah yang timbul dalam persekitaran yang akhirnya menyebabkan generasi Net ini bersifat individualistik.

Generasi Net ini juga akan membawa sifat materialistik disebabkan kebergantungannya dan keinginan yang tinggi terhadap sesuatu alat elektronik atau teknologi untuk memudahkan tugas seharian. Tidak salah menggunakan teknologi yang ada tetapi kita haruslah memanfaatkan sebaiknya teknologi dan kemudahan yang ada untuk digunakan bagi tujuan yang membawa manfaat kepada manusia sejagat. Kebergantungan yang tinggi terhadap teknologi ini akhirnya menyebabkan sifat malas dan tidak mahu berusaha dalam kalangan generasi Net. Mereka merasa lebih selesa jika mereka berada di hadapan komputer di dalam sebuah bilik dan berinteraksi dalam laman web sosial seperti Facebook, MySpace, Twitter dan sebagainya. Mereka lebih banyak berinteraksi dalam ruang maya berbanding berinteraksi di ruang reality. Ini juga menyebabkan bahawa generasi Net ini kurang beraktiviti dan kurang sifat progresif dan aktivisme. Kurangnya interaksi dalam masyarakat menjadikan mereka generasi yang individualistik. Bagi mereka, masa bersosial diperuntukkan apabila mereka ingin mendapatkan hiburan dan melepaskan stress yang mereka alami.

Don Tapscott menyatakan bahawa generasi Net ini adalah ‘The Dumbest Generation’ disebabkan oleh kurangnya penekanan soal adab dan nilai-nilai murni dalam generasi Net. Generasi Net dilihat sebagai generasi yang mempunyai ilmu tetapi tidak mengamalkan dan memanfaatkan ilmu yang ada untuk kesejahteraan sejagat. Menurut Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, budaya ilmu yang sebenarnya adalah apabila seseorang mendapat ilmu yang benar yang diperolehi daripada pancaindera yang murni yang kemudiannya diterjemahkan dan diamalkan dalam kehidupan seharian untuk manfaat sendiri dan orang lain[3]. Untuk membudayakan ilmu juga, soal adab sangat ditekankan. Jika kita lihat kepada warisan orang-orang dahulu yang ditinggalkan kepada kita, banyak adab dan adat yang telah mereka buat dan menjadi amalan zaman berzaman sehingga kini. Amalan memberi salam kesejahteraan, membongkokkan badan apabila melintas dihadapan orang tua dan sebagainya mempunyai falsafah yang tersendiri dan ini dilakukan untuk menghormati dan juga menjaga perhubungan dan tali silaturrahim yang wujud dalam kalangan masyarakat ketika itu.

Memperkasa dan Merimbun Generasi Net

Untuk memperkasa generasi Net ini, terdapat tiga perkara asas yang boleh diperkukuhkan dan sentiasa diperkemaskan. Dato’ Saifuddin Abdullah[4] menyatakan bahawa terdapat tiga idea dan asas penting untuk memperkasakan dan merimbun generasi Net iaitu idealisme, intelektualisme dan aktivisme. Idealisme melibatkan jiwa dan rohaniah seseorang. David J. Schwartz menyatakan bahawa salah satu cara untuk memperkasa idealisme ini adalah dengan berjiwa besar dan berjiwa merdeka. Jiwanya tidak terkongkong dengan hal-hal yang berbentuk picisan dan tidak membawa manfaat kepada dirinya dan orang lain. Jiwanya sentiasa bersifat besar, mampu berfikir secara besar, mampu merancang secara besar dan mampu untuk melakukan sesuatu yang besar kerana jiwanya sudah menjadi besar untuk mencapai matlamat yang dicitakan. Oleh yang demikian, generasi Net harus mempunyai persediaan yang rapi dan strategik dalam menghadapi cabaran semasa yang tidak menentu. Riwayat hidup Sultan Muhammad al-Fatih harus dijadikan iktibar buat generasi Net kerana melalui perancangan awal dan strategik, Sultan Muhamamd al-Fatih telah berjaya ‘membuka’ Kota Konstantinople. Begitu juga Sultan Salahuddin al-Ayubi yang berjaya ‘membuka’ Jerussalem tanpa melakukan pertumpahan darah. Inilah generasi yang berjiwa besar dan berjiwa merdeka.

Intelektual juga penting dalam membina generasi yang berkebolehan dan melahirkan modal insan yang berkualiti. Relatifnya intelektual pasti akan berkaitan soal ilmu. Oleh yang demikian, ilmu sangat penting dalam membina pandangan alam seseorang. Melalui ilmu juga kita mampu untuk mencambahkan pemikiran kita kepada hal-hal yang penting yang mencakupi kehidupan seharian kita. Semua agama menekankan soal menuntut ilmu. Dalam al-Quran sendiri, Allah S.W.T. berfirman dalam Surah al-‘Alaq, ayat 1-5, “Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan, Yang mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”. Ini juga ditekankan dalam satu hadith Rasulullah S.A.W, “Sesiapa yang menginginkan kejayaan dunia, maka dia memerlukan ilmu. Sesiapa yang menginginkan kejayaan akhirat, maka dia juga memerlukan ilmu. Sesiapa yang menginginkan kejayaan dunia dan akhirat, maka dia memerlukan ilmu. Oleh yang demikian, ilmu sangat penting dalam soal pembinaan generasi. Kita lihat saja generasi yang tidak membudayakan ilmu adalah generasi yang tidak membangun dari segi jiwa, rohaniah, jasmaniah dan intelektualnya. Tamadun Greek dan Tamadun Kegemilangan Islam adalah contoh tamadun keilmuan yang telah menyuburkan budaya ilmu dalam generasinya. Cabaran untuk generasi Net ini adalah bagaimana mereka mampu untuk menapis ilmu yang diperolehi untuk mencari ilmu yang benar yang dapat membawa mereka kepada kebenaran. Ini dapat dilakukan dengan memurnikan pancaindera kita dan akal kita untuk menerima ilmu agar ilmu yang kita perolehi akan menjadi ilmu yang benar yang bermanfaat buat diri kita dan orang lain.

Untuk memperkasa dan memantapkan generasi Net juga, soal aktivisme juga penting untk membina suatu generasi. Generasi yang ketiadaan aktivisme seperti hilang tempo dalam satu alunan muzik yang menyebabkan muzik tersebut kurang menarik dan tidak dinamik. Maka generasi Net harus menjadi generasi yang dinamik yang mampu untuk membawa kepada pengislahan (pembaikan) dalam masyarakat. Oleh yang demikian, generasi yang akan datang harus mengambil tiga perkara penting yang dinamakan sebagai RED Code iaitu Reach Out, Explore dan Define. Ketiga-tiga aspek ini penting untuk mewujudkan sifat aktivisme dalam generasi Net. Reach Out bermakna seseorang itu harus berusaha untuk mencari solusi kepada permasalahan yang timbul dalam kalangan masyarakat serta keluar untuk berada dalam masyarakat. Ini bermakna mereka tidak boleh berada dalam keadaan yang static, tetapi harus berada dalam keadaan yang dinamik. Keadaan semasa memerlukan seseorang untuk melakukan beberapa tugasan dalam satu masa atau kita namakan sebagai ‘multi tasking’. Ini bermakna seseorang itu haruslah mampu menjadi seorang yang dinamik. Explore pula membawa maksud mengkaji, mendalami dan proses memahami sesuatu perkara. Generasi Net adalah generasi yang suka mencuba sesuatu yang baru. Maka dengan mengkaji dan memahami satu proses dan perkara yang baru, maka secara tidak langsung akan melahirkan kreativiti dan inovasi dalam generasi Net. Manakala Define pula bermaksud membawa makna kepada aktiviti seharian yang kita jalankan. Setiap pekerjaan dan perbuatan yang kita lakukan haruslah bersebab dan mempunyai manfaat yang baik kepada diri dan orang lain. Melalui Define juga, seseorang juga mampu untuk membuat retrospektif (muhasabah) untuk sentiasa memperbaiki segala amalan yang telah diperbuat.

Kesimpulan

Satu generasi itu akan berubah mengikut kepada perkembangan semasa dan banyak membentuk generasi tersebut. Generasi yang mampu untuk menegakkan kebenaran dan keadilan adalah generasi yang benar-benar memperjuangkan integriti dan mencapai matlamat untuk membina satu khayara ummah (umat yang terbaik). Melalui pembinaan individu yang baik dan berkualiti, maka ianya boleh dikembangkan menjadi generasi yang baik seperti modul yang telah dilaksanakan oleh Lao Tze yang menyatakan bahawa individu yang baik lahir dari keluarga yang baik, keluarga yang baik lahir dari masyarakat yang baik, masyarakat yang baik lahir dari negara yang baik. Oleh yang demikian, setiap individu harus berperanan untuk menjadi warganegara yang baik. Untuk membentuk generasi yang madani, maka kekuatan dari segi jiwa, rohani, akal dan kalbu harus dibina agar mereka ini mampu untuk mempertahanakan diri mereka dari ghuzwatul fikr (serangan pemikiran) dan cabaran arus globalisasi kini yang banyak mempengaruhi hidup masyarakat.


[1] Don Tapscott, 2006, Grown Up Digital: How The Net Generation Is Changing Your World, McGraw-Hill

[2] John Kotter& Holger Rathgeber, 2005, ‘Our Iceberg Is Melting: Changing and Succeeding Under Any Conditions’, MacMillan

[3] Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, 1996, Penjelasan Budaya Ilmu, Dewan Bahasa dan Pustaka.

[4] Beliau merupakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan pernah menjadi Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).

Saturday, May 22, 2010

KUPASAN BUKU POLITIK BARU: MEMATANGKAN DEMOKRASI MALAYSIA KARYA DATO’ SAIFUDDIN ABDULLAH SIRI I


KUPASAN BUKU POLITIK BARU: MEMATANGKAN DEMOKRASI MALAYSIA KARYA DATO’ SAIFUDDIN ABDULLAH

Oleh: Mohd Zikri Zainudin, Setiausaha ABIM Sabah

Apabila melihat tajuk Politik Baru: Mematangkan Demokrasi Malaysia, pasti anda berfikir ianya berkaitan dengan politik semata. Tetapi apabila membaca dan memahami buku ini, ianya boleh diaplikasikan dalam semua aspek kehidupan; dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara. Dato’ Saifuddin Abdullah pernah menjadi Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) telah mengagaskan satu idea besar untuk para generasi muda pada ketika itu, iaitu belia perlu mempunyai idealisme, intelektualisme dan aktivisme dan sekaligus telah membawa kerangka pemikiran yang sama dalam buku ini tetapi lebih menjurus kepada aspek politik. Tetapi apa yang ingin dikupas bukan saja berkaitan dengan politik, ia juga berkaitan dengan apa yang kita anggap sebagai perkara remeh temeh, yang kadang kala sangat penting dalam kehidupan kita.

Untuk menjadi pemimpin kepada diri sendiri dan orang lain, apa yang sangat ditekankan adalah soal ilmu, tanggungjawab dan integriti. Dalam Islam, soal kepimpinan itu sudah dijelaskan dalam Surah al-Baqarah, ayat 30, Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”. Allah S.W.T menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi untuk memakmurkan bumi ini. Maka pemimpin yang baik itu mesti mempunyai ilmu, idealisme dan mempunyai semangat juang yang tinggi. Sehubungan dengan itu, Dato’ Saifuddin Abdullah membawa kerangka idealisme, intelektualisme dan aktivisme dalam buku ini di mana beliau telah menukarkan tiga kerangka itu kepada 3 idea utama dan baru dalam politik iaitu politik ilmu, politik hikmah dan politik bakti.


Politik Ilmu

Ilmu sangat penting dalam kehidupan kita kerana melalui ilmu, kita banyak membangun dan mendidik jiwa dan pemikiran kita ke arah yang lebih baik dan bermanfaat untuk orang lain. Ilmu jika dihayati dan tidak difahami dengan baik dan tidak diselewengkan, maka akan berlaku musibah besar dimana ilmu itu akan disalah guna untuk kepentingan peribadi. Misalnya seorang pemimpin mahu dipandang sebagai intelektual dengan mendapatkan gelaran Doktor dan sebagainya semata untuk ilmu yang beliau dapat tetapi tidak dimanfaatkan dengan baik. Perkataan ilmu berasal daripada bahasa al-Quran iaitu ‘ilm, mempunyai sandaran, sama ada dari segi tradisi ataupun hujah yang jauh lebih kuat. Sebagai asasnya, dianjurkan supaya digunakan takrif ilmu yang diungkapkan ilmuwan Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, “Ilmu ialah ketibaan sesuatu makna, hasil daripada maklumat yang benar ke dalam diri seseorang”. Bermakna ilmu itu tidak sama dengan maklumat bahkan lebih tinggi tarafnya daripada maklumat kerana maklumat tidak membawa kepada makna. Menurut Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud dalam bukunya Penjelasan Budaya Ilmu, ilmu itu akan bermakna jika diamalkan dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Makna menghayati budaya ilmu itu adalah mampu menjadikan ilmu itu sebagai asas kepada gerakan untuk menterjemahkan ilmu tersebut dalam aktiviti harian kita. Misalnya budaya bermusyawarah atau bermesyuarat, membuat keputusan, pengurusan dan perancangan dan sebagainya yang akhirnya memberi impak kepada seluruh aspek hidup dan bermanfaat kepada diri sendiri dan orang lain.

Maka disebabkan oleh itu, ilmu sangat penting untuk membentuk individu. Rasulullah S.A.W bersabda, “Menuntut ilmu itu adalah kewajiban kepada setiap muslimin dan muslimah”. Dalam membuat sebarang keputusan yang berkaitan dengan negara juga harus ada ilmu. Jika tidak mempunyai ilmu, maka keputusan yang dibuat adalah keputusan yang tidak relevan dan tidak membawa kepada sebarang kebaikan. Maka dalam soal kepimpinan itu, ilmu sangat ditekankan. Dalam al-Quran juga tuntutan untuk menuntut ilmu ditekankan. “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam. Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.” Surah Al-Alaq, ayat 1-5.

Dalam politik juga, ilmu harus diletakkan ditempat yang sewajarnya. Seorang pemimpin yang berilmu harus juga diletakkan pada tempat yang betul kerana natijahnya dapat menghasilkan impak yang positif. Menurut penulis buku ini, ilmu adalah asas kepakaran. Tanpa ilmu, seseorang mungkin tidak pakar untuk melakukan sesuatu perkara. Persoalan kini adalah adakah pemimpin kita mempunyai kepakaran yang mendalam dalam sesuatu bidang atau cuma menjadi ‘pemimpin terjun’? Dari soal keilmuan rasanya kini kita ketandusan pemimpin yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang atau menurut Gardner multiple intelligence atau multiple skills. Melalui kepakaran ini, maka akan lahirlah output atau hasil yang luar biasa yang biasa kita terjemahkan sebagai profesional di mana sesuatu kerja itu dibuat secara teratur, kemas dan memberi impak kepada seluruh organisasi.

Ilmu juga merupakan asas kepada idealisme, mempunyai jatidiri yang utuh dalam mempertahankan prinsip yang benar. Apabila kita mempunyai ilmu, maka secara tidak langsung kerangka pemikiran kita, jatidiri kita akan terbina. Jika pemimpin itu tidak berpegang kepada satu prinsip, maka seorang pemimpin itu tidak mempunyai arah tuju yang tetap. Maka seharusnya kita sebagai ahli gerakan Islam, khalifah Allah di muka bumi ini dan hamba Allah seharusnya mempunyai matlamat dan idealisme dalam hidup. Antaranya adalah untuk menjadi umat yang terbaik atau khayra ummah seperti mana Firman Allah S.W.T dalam Surah Ali Imran, ayat 110. “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik”. Maka melalui pegangan visi dan misi yang kuat akan tercetusnya idealisme di mana seseorang itu mampu membuat keputusan yang terbaik berdasarkan prinsip yang benar yang telah dipegang setelah mendapat ilmu yang bermanfaat. Seharusnya pemimpin mempunyai pendirian yang kukuh dan ilmu yang benar agar seseorang itu mampu menjadi pemimpin yang terbaik buat dirinya, keluarganya dan masyarakat.

Menurut penulis buku ini, seseorang pemimpin itu harus menjadi ilmuwan dan intelektual yang sejati yang dapat menjadi penyuluh yang menerangi setiap benda yang ada disekelilingnya yang akhirnya membawa manfaat dan kebaikan kepada masyarakat dan negara, yang akhirnya menjadi khalifah yang memakmurkan bumi.


Sunday, May 9, 2010

Nota Cinta Buat Umi




Nota Cinta Buat Umi


Jika bukan kerana Rahmat-Nya
Pasti aku tidak lahir ke dunia ini
Melalui rahim seorang insan
Yang tidak jemu-jemu menjagaku
Sejak dari kecil lagi
Dibesarkan dengan penuh kasih sayang
Diberikan perhatian yang secukupnya
Tanpa meletakkan apa-apa syarat
Kerana bagimu adalah
Melihat anak-anakmu bahagia
dan mampu menjadi anak yang soleh solehah

Umi
Inilah nota cinta ku buatmu
Kerana Rahmat dan Kasih Allah kita bertemu
Kerana engkau insan tulus hatinya
Menyayangi anak-anakmu sepenuh jiwa ragamu

Umi
Aku sayang padamu, Umi
Ungkapan yang harus aku lafazkan buat dirimu
Sentiasa tersemat dalam qalbu ku
Untuk terus menyayangi dirimu

Umi
Ampunkanlah segala kekhilafan ku
Dalam hati kecil ini selalu rasa bersalah
Jika selama ini aku selalu mengguris hatimu
Membuatkan dirimu resah dan risau
Yang selalu memikirkan tentang diri ku

Umi
Engkaulah murabbi hatiku
Mendidik ku dengan lembut dan kasih sayang
Mengingatkan ku apabila aku terlupa
Menjadi pendengar yang terbaik buat anak-anak mu

SETIAP HARI ADALAH HARI IBU.

Zikri Zainudin @ Zikrullah As-Saif 9 Mei 2010

Thursday, April 8, 2010

Mengharungi Badai Kehidupan

Tenang lautan di keheningan senja
Burung-burung bertebaran berkicauan,
Tidak lupa berzikir menyebut namaNya
Petanda Pencipta Alam Sarwa
Ombak di lautan turut beralun mengikut rentak alam
Tunduk kepada arahan Pencipta Alam Sarwa

Namun tanpa diduga
Tiada isyarat dan petanda
Lautan yang tenang tiba-tiba saja mengganas
Menghancurkan harapan yang dicita
Bahtera yang di nakhoda hilang arah
Hingga hampir karam
Hanyut di badai ombak lautan
Hingga hampir tidak lagi kelihatan

Badai harus diharungi dengan kesabaran
Agar bahtera yang di nakhoda tidak hilang arah
Tidak karam di badai ombak yang rakus
Nakhodanya harus bijak mengatur strategi
melawan badai yang rakus membaham
Agar tidak terjerumus karam dan hanyut
Di lautan yang luas dan dalam

Bahtera itu sedang menuju ke Tanah Besar
Tempat istirehat abadi, Negei Abadi
Tempat segala harta kita ditaksir dan dinilai
Dan diganjari dengan adil dan saksama
oleh Yang Maha Pencipta, Pemilik Mutlak Alam Sarwa

Begitu perumpamaan kehidupan
Umpama sebuah bahtera mengharungi badai di lautan
Hidup ini penuh dengan mehnah dan tribulasi
Harus ditempuhi dengan sabar dan syukur
Kerana dunia tempat sementara dan fana
Cuma tempat menumpang
Kerana akhirat itulah Negeri Abadi
Tempat segala benih yang kita semai di dunia
Dituai di Negeri Abadi
Moga nanti di Negeri Abadi
Tidak akan menyesal kerana di situ lah tempat abadi
Tempat di mana segala semaian kita diganjari

*Ilham dari Surah Yunus, ayat 21-24

Nukilan Zikrullah As-Saif @ Zikri Zainudin
11.27 PM

Monday, April 5, 2010

Buat Qurrata A'yun Ku

Dalam hati sanubari ku sedang menanti,
Dalam rintihan doa ku selalu ku ucapkan,
Dalam sujud ku,
Ku memohon agar Allah kurniakan sesuatu yang tidak ternilai,
Yang tidak dapat dibeli dengan nilaian duniawi,
Yang menjadi penenang di qalbu dan di mata,
Yang tidak pernah putus memberi sokongan dan dokongan,
Seperti Hawa menjadi tulang belakang kepada Adam.

Dialah Qurrata A'yun,
Penyejuk mata dan penenang di hati,
Menjadi sahabat dikala kebuntuan,
Menjadi murabbi kepada anak-anak,
Tempat anak-anak bermanja,
Sentiasa mengingatkan apabila alpa,
Menjadikan rumah sebagai mahligai kebahagiaan.

Inilah anugerah Allah buatku,
Yang tidak ternilai harganya,
Inilah permata hatiku,
Khas buat Qurrata A'yun ku.

*"Dan orang orang yang berkata: "Ya Tuhan kami, anugrahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa". (Al-Furqan:74)

**Sudah lama tidak berkarya akhirnya dapat juga ilham untuk menghasilkan sebuah sajak sebagai renungan dan ingatan kita.

Tuesday, October 20, 2009

Semuanya Murah

Terpanggil untuk menulis dalam blog ini apabila membaca entri terbaru Ustaz Hasrizal berkaitan dengan iklan AirAsia, peneraju penerbangan tambang murah yang terkenal dengan slogan "Now Everyone Can Fly" atau "Kini Sesiapapun Boleh Terbang". Apabila melihat iklan tersebut, saya sendiri terkilan apabila seorang budak mampu untuk berkata, "I heard the Flight Attendant was Hot", menggambarkan bahawa iklan tersebut cuba menjatuhkan maruah wanita dan terdapat unsur 'sexual harrasment' apabila ianya memfokuskan punggung dan bahagian dada pramugari tersebut. Menjadi kerisauan saya apabila iklan itu juga menggunakan kanak-kanak sebagai modal untuk menarik orang ramai untuk membeli tiket penerbangan daripada AirAsia. Pada pandangan saya, ianya juga boleh ditanggapi sebagai 'child abuse' kerana kesannya nanti adalah kepada kanak-kanak dimana apabila mereka melihat iklan tersebut, mereka juga akan mengikuti perbuatan tersebut apabila mereka menaiki penerbangan AirAsia.

Menurut pandangan pakar psikologi sendiri, Albert Bandura yang melopori teori 'social learning' ataupun pembelajaran sosial, mengatakan bahawa seseorang itu akan mempelajari sesuatu daripada persekitaran mereka dengan menggunakan pemerhatian (observation) dan akhirnya mereka akan meniru (imitation) perbuatan tersebut. Lebih-lebih lagi seorang kanak-kanak yang masih belum matang untuk berfikir. Maka saya berpendapat iklan tersebut harus dihentikan walaupun ada nilai komersialnya tetapi mesej dan moralnya sangat tidak baik untuk kanak-kanak bahkan untuk orang tua kerana iklan ini jelas menjatuhkan maruah para wanita. Kalau kita lihat kini dunia barat pun banyak mengekploitasi golongan wanita semata-mata mahu mendapatkan keuntungan dan tidak kisah akan maruah seorang wanita sehinggakan ada iklan di barat yang meminta wanita untuk berbogel seperti iklan penerbangan New Zealand.

Rasanya untuk membuat iklan yang baik tidak perlulah menonjolkan kebaratan kita tetapi kita perlu menonjolkan nilai-nilai murni seperti iklan Malaysia Airlines yang boleh membanggakan Malaysia dengan membawa mesej yang baik dan jelas.


Sunday, September 20, 2009

Selamat Kembali Kepada Fitrah

Salam Aidilfitri. Setelah menempuh "Universiti Ramadhan" selama sebulan yang bakal melahirkan "graduan-graduan bertaqwa", maka tiba masa untuk meraikan kemenangan atas segala penat lelah dan usaha kita beramal dan membuat amal kebajikan semasa di "Universiti Ramadhan". Raihlah kemenangan kita ini dengan penuh rasa kesyukuran dan berserderhana. Ramadhan sudah melabuhkan tirainya dan akan kembali lagi menyinari kehidupan kita pada masa akan datang. Jadikanlah ikhtibar Ramadhan untuk menjadikan kita lebih istiqamah dalam ibadah. Moga-moga Ramadhan kali ini telah menyuburkan sifat-sifat mahmudah dalam diri kita dan merupakan Ramadhan yang lebih baik daripada sebelum ini. Kini Syawal pula menjelang dimana kita sudah kembali kepada fitrah kita setelah sebulan menjalani proses pembersihan jiwa, pembersihan hati dan pembersihan pancaindera dari segala noda. Moga-moga kita dapat menjadi orang yang kembali kepada fitrah seperti Firman Allah di dalam Al-Quran:

"Apakah kamu tiada mengetahui bahawa kepada Allah bersujud apa yang ada di langit, di bumi, matahari, bulan, bintang, gunung dan pohon-pohonan, binatang-binatang yang melata dan sebahagian besar daripada manusia". (Surah Al-Haj: 18)

"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jamaah hamba-hamba-Ku, masuklah ke dalam syurga-Ku". (Surah Al-Fajr: 27-30)


Sempena Aidilfitri mubarak ini, saya ini memohon kemaafan jika ada salah dan silap, zahir dan batin, yang terlahir dan yang tersirat sepanjang ukhuwwah yang terjalin. Moga-moga Allah mengampuni segala dosa-dosa kita dan menerima segala amalan yang telah kita laksanakan dengan penuh tawaduk.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Hosting