Sudah lama jari jemari ini menaip untuk menukil di laman blog ini. Tercetus rasa kerinduan untuk mengetuk-ngetuk papan kunci di 'Laptop'. Baru saja tiba di Kota Kinabalu pada malam Sabtu setelah bermuktamar pada 31 Julai hingga 2 Ogos 2009 di Shah Alam. Kesempatan berada di Kuala Lumpur digunakan sebaiknya dengan membeli belah buku-buku yang bermanfaat. Kalau nak ditulis agak banyak tapi antara yang terkini adalah 'Maaf Dari Surga' karya Faisal Tehrani, 'Cuba Try Cinta Islam' karya Abban Lo'Baw, 'Kesan Dosa Dalam Hidup' karya Ibnu Qayyim dan yang menjadi koleksi termahal dan klasik (agaknya) adalah karya Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, 'Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam'.
Untuk 'entry' kali ini sebenarnya bukan cuba untuk mengupas buku yang telah dibeli, tetapi untuk berkongsi dan menganalisis keadaan yang berlaku di Kuala Lumpur baru-baru ini iaitu perhimpunan mansuhkan ISA di Jalan Tun Abdul Rahman. Terasa lucu kerana semasa sibuk berseminar (Seminar Tajdid Generasi & Gerakan Dakwah) di Shah Alam, saya telah menerima 9 'miscall' daripada ayah saya yang cuba bertanya tentang keadaan saya di sana. Setelah tamat seminar, saya berpeluang untuk menghubungi umi saya tentang 9 'miscall' yang telah dibuat oleh ayah saya. Akhirnya baru saya ketahui bahawa ayah dan umi saya risau jika saya mengikuti perhimpunan mansuhkan ISA yang diadakan di Jalan TAR.



Hati tiba-tiba terasa kurang berpuas hati dengan tindakan penganjur perhimpunan mansuhkan ISA kerana saya juga dilibatkan secara tidak langsung dalam hal ini di mana pada masa yang sama saya sedang menghadiri majlis ilmu yang sangat bermakna di Shah Alam. Inilah stigma yang masih kekal di dalam ABIM iaitu setiap kali adanya perhimpunan di Ibu Kota, pasti nama ABIM tidak akan lekang daripada dikaitankan dengan kejadian tersebut. Itu cerita dahulu. Sekarang ABIM sudah mempunyai pendirian atau 'stand' yang kuat dan kukuh iaitu non-partisan. Saya terpanggil untuk menulis 'entry' ini kerana saya merasakan perhimpunan tersebut tidak wajar untuk diadakan kerana ianya membawa kepada kekacauan, kekecohan dan merugikan semua pihak melainkan perhimpunan tersebut benar-benar diadakan secara aman. Terdapat banyak lagi metod untuk mengkritik dan menyatakan rasa tidak puas hati tentang ISA. Memang benar perhimpunan awam itu satu kaedah untuk mendesak kerajaan untuk mengkaji semula ISA dan mungkin akan memansuhkan ISA. Tetapi biarlah kita berlaku adil dengan perkara tersebut dengan melaksanakan forum, satu-satunya kaedah yang terbaik untuk mendesak kerajaan dengan mendraf satu resolusi daripada seminar tersebut. Selain itu juga tulisan dalam akhbar dan blog juga sedikit sebanyak dapat mendesak kerajaan untuk membuat sesuatu tentang ISA. Banyak cara yang sesuai yang bisa dijadikan platform untuk menyatakan sesuatu kepada pihak kerajaan. Maka kita haruslah berfikir secara kritis tentang akibat daripada tindakan kita. Saya bukan mahu menyebelahi mana pihak, tetapi saya berfikir tentang akibat daripada perhimpunan aman yang tiba-tiba bertukar menjadi perhimpunan yang menimbulkan kekecohan dan kekacauan.



8:47 PM
Zikri Zainudin


0 comments:
Post a Comment