Saturday, August 22, 2009

Marhaban Ya Ramadhan!



Ufuk jingga terbenam melepasi awan indah

Menandakan tibanya bulan suci
Hadirnya disambut girang dan ramah
Bagi mereka yang benar-benar mencari makna Ramadhan

Selamat menjalani ibadah di bulan Ramadhan. Moga-moga amal kebajikan yang kita lakukan diterima Allah S.W.T dan dilipat gandakan amalan kebajikan kita. Semoga sebulan ini dapat kita menekuni ibadah dengan lebih bersungguh-sungguh dan menambah serta memperbaiki kekurangan yang ada di dalam diri. Inilah peluang yang Allah berikan kepada kita untuk melatih dan mentarbiyyah diri kita menjadi diri yang lebih baik serta dapat menyucikan hati (tazkiyatun nafs) kita agar kita dapat kembali kepada fitrah kita. Bulan yang mulia ini juga ada 'input', 'process' dan 'output'. Ini dijelaskan dalam Surah Al-Baqarah, ayat 183. Firman Allah:

"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan berpuasa ke atas kamu seperti mana yang telah diwajibkan ke atas umat yang terdahulu, mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertaqwa".
'Input' yang telah digariskan kepada kita adalah kewajipan kita sebagai umat Islam untuk menjalani Ibadah puasa kerana ini adalah seruan Ilahi untuk umatnya dari dahulu lagi. Manakala 'Process' adalah latihan dan tarbiyyah sepanjang bulan Ramadhan. Adakah latihan dan tarbiyyah ini dapat membentuk jiwa nurani kita? Adakah sepanjang bulan Ramadhan ini dapat membuahkan keikhlasan dalam diri kita? Ini boleh dilakukan dengan bermujahadah dan istiqamah melaksanakan amalan-amalan wajib dan meningkatkan amalan sunat seperti Tadarus Al-Quran yang mungkin sedikit kita lakukan semasa bulan biasa serta Qiamullail. Perkara yang boleh mendatangkan dosa juga haruslah kita elakkan di bulan mulia ini seperti mengumpat dan berkata-kata kosong. Dan hasil akhir atau 'output' daripada bulan Ramadhan ini adalah kita menjadi insan yang bertaqwa, bukan saja merasa kewujudan Sang Pencipta, merasa khauf, raja' dan haya', tetapi juga mampu menjadi insan yang terbaik dari segala genap, dari sudut kefahamannya tentang Islam, akhlaknya, amalannya, zikirnya, doanya dan jiwanya, menjadi insan yang apabila disebutkan bait-bait kalimah Allah, maka jiwanya akan bergetar. Inilah 'output' yang bakal menjadi buruan orang-orang yang percaya akan janji-Nya.

Maka rebutlah peluang besar-besaran di bulan Ramadhan ini dengan mentarbiyyah diri dengan setulus hati, dengan penuh ketekunan dan mengharapkan redha Ilahi, bukan hanya mengharapkan ganjaran pahala semata-mata kerana bulan ini adalah bulan ikhlas, bulan mengajar kita erti keikhlasan yang sebenar. Kerana ada sesetengah orang tahu bahawa bulan ini adalah bulan puasa tapi masih tidak jujur dengan diri sendiri , 'makan' dengan rakusnya semasa bulan ramadhan ketika orang lain berpuasa, mengambil kesempatan makan di restoran makanan segera dan gerai 'khas'. Maka gunakanlah sebaik-baiknya peluang yang ada untuk membentuk jiwa yang ikhlas dan tulus.

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan! Selamat datang Ramadhan! Moga pertemuan kita kali ini lebih bermakna dan bererti buat diriku! Ya Allah! Ampunkanlah segala dosa kami, masukkanlah kami dalam syurgaMu, terimalah segala amalan kami, Ya Allah!

***Mohon maaf kepada semua rakan taulan jika selama ini telah melukakan hati anda secara langsung ataupun tidak langsung.

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Hosting