




31 Ogos 2009 merupakan tarikh keramat Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-52 pada tahun ini. Dan pada tarikh tersebut juga, saya berpeluang mengikuti Program Menyantuni Anak Yatim Rumah Putera harapan (RPH) di Ranau. Inilah makna kemerdekaan yang sebenar dengan meraikan dan 'memerdekakan' anak-anak yatim RPH dengan memberikan sesuatu yang bermakna buat mereka sempena bulan Ramadhan ini. Program ini telah dirancang oleh Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) Negeri Sabah dibantu oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah dan Siswazah Muda ABIM (SISMA) Negeri Sabah.
Seawal program kami diberikan taklimat ringkas oleh Tuan Haji Sainuri Haji Yahmin tentang pergerakan program. Kemudian program ini diteruskan dengan bertemu dengan penghuni RPH dan seterusnya membawa mereka membeli baju melayu dan kelengkapan lain untuk meraikan aidilfitri yang bakal menjelang. Pastinya anak-anak di RPH gembira dan merasa puas atas pemberian istimewa untuk mereka walaupun dalam keadaan sederhana. Melihat wajah-wajah mereka, lahir rasa kesyukuran dan riak keriangan ketika membeli barangan keperluan mereka. Saya merasa terharu dan sedih melihat reaksi mereka kerana terfikir tentang masa kecil dahulu, Abah dan Umi tidak pernah merasa lelah jemu melayan karenah saya untuk membeli keperluan saya, berbanding keadaan anak-anak yatim. Selepas penat membeli belah di Hijrah Trading di Pekan Ranau selama 40 minit, kami kemudian bersedia untuk bertolak semula ke RPH untuk meraikan mereka disana. Setiba di RPH, Tuan Haji Sainuri Haji Yahmin mengisi sedikit dengan tazkirah kepada semua hadirin yang hadir termasuklah anak-anak di RPH. Tazkirah beliau banyak berkisar tentang kisah Imam As-Syafie yang juga merupakan anak yatim dimana As-Syafie kehilangan ayah beliau ketika berumur 8 tahun. Selepas kematian ayahnya, ibunya meminta As-Syafie untuk menuntut ilmu dan meminta agar beliau kembali juga dengan ilmu yang ada. Kemudian majlis diserikan dengan penyampaian duit raya kepada anak-anak di RPH dan penyampaian bekalan makanan untuk RPH yang diserahkan kepada Sdr. Sabri, Pengurus RPH merangkap Setiausaha ABIM Daerah Ranau.
Banyak iktibar yang boleh diambil daripada program ini di mana Rasulullah pun meminta kita untuk menyayangi anak-anak yatim serta menyantuni mereka bukan saja di bulan Ramadhan tetapi juga setiap masa. Rasulullah S.A.W pernah bersabda:
"Sesiapa yang menyayangi anak yatim, di syurga nanti dekatnya dengan Nabi Muhammad S.A.W ibarat dua jari iaitu jari telunjuk dan jari tengah, tiada jarak"
Maka tidak rugi kita menyantuni dan meraikan anak-anak yatim untuk memberi makna kepada diri mereka agar mereka rasa dihargai dan dikasihi. Jika ada sumbangan untuk RPH, bolehlah berhubung terus dengan Sekretariat ABIM Sabah di talian 088212080 atau boleh berhubung terus dengan Pengurus RPH, Sdr. Sabri ditalian 0198993315. Semoga sumbangan anda membawa makna kepada anak-anak di RPH.



9:51 PM
Zikri Zainudin


0 comments:
Post a Comment