Sunday, September 20, 2009

Selamat Kembali Kepada Fitrah

Salam Aidilfitri. Setelah menempuh "Universiti Ramadhan" selama sebulan yang bakal melahirkan "graduan-graduan bertaqwa", maka tiba masa untuk meraikan kemenangan atas segala penat lelah dan usaha kita beramal dan membuat amal kebajikan semasa di "Universiti Ramadhan". Raihlah kemenangan kita ini dengan penuh rasa kesyukuran dan berserderhana. Ramadhan sudah melabuhkan tirainya dan akan kembali lagi menyinari kehidupan kita pada masa akan datang. Jadikanlah ikhtibar Ramadhan untuk menjadikan kita lebih istiqamah dalam ibadah. Moga-moga Ramadhan kali ini telah menyuburkan sifat-sifat mahmudah dalam diri kita dan merupakan Ramadhan yang lebih baik daripada sebelum ini. Kini Syawal pula menjelang dimana kita sudah kembali kepada fitrah kita setelah sebulan menjalani proses pembersihan jiwa, pembersihan hati dan pembersihan pancaindera dari segala noda. Moga-moga kita dapat menjadi orang yang kembali kepada fitrah seperti Firman Allah di dalam Al-Quran:

"Apakah kamu tiada mengetahui bahawa kepada Allah bersujud apa yang ada di langit, di bumi, matahari, bulan, bintang, gunung dan pohon-pohonan, binatang-binatang yang melata dan sebahagian besar daripada manusia". (Surah Al-Haj: 18)

"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jamaah hamba-hamba-Ku, masuklah ke dalam syurga-Ku". (Surah Al-Fajr: 27-30)


Sempena Aidilfitri mubarak ini, saya ini memohon kemaafan jika ada salah dan silap, zahir dan batin, yang terlahir dan yang tersirat sepanjang ukhuwwah yang terjalin. Moga-moga Allah mengampuni segala dosa-dosa kita dan menerima segala amalan yang telah kita laksanakan dengan penuh tawaduk.

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Hosting