Oleh: Mohd Zikri Zainudin, Setiausaha ABIM Sabah
Apabila melihat tajuk Politik Baru: Mematangkan Demokrasi Malaysia, pasti anda berfikir ianya berkaitan dengan politik semata. Tetapi apabila membaca dan memahami buku ini, ianya boleh diaplikasikan dalam semua aspek kehidupan; dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara. Dato’ Saifuddin Abdullah pernah menjadi Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) telah mengagaskan satu idea besar untuk para generasi muda pada ketika itu, iaitu belia perlu mempunyai idealisme, intelektualisme dan aktivisme dan sekaligus telah membawa kerangka pemikiran yang sama dalam buku ini tetapi lebih menjurus kepada aspek politik. Tetapi apa yang ingin dikupas bukan saja berkaitan dengan politik, ia juga berkaitan dengan apa yang kita anggap sebagai perkara remeh temeh, yang kadang kala sangat penting dalam kehidupan kita.
Untuk menjadi pemimpin kepada diri sendiri dan orang lain, apa yang sangat ditekankan adalah soal ilmu, tanggungjawab dan integriti. Dalam Islam, soal kepimpinan itu sudah dijelaskan dalam Surah al-Baqarah, ayat 30, “Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”. Allah S.W.T menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi untuk memakmurkan bumi ini. Maka pemimpin yang baik itu mesti mempunyai ilmu, idealisme dan mempunyai semangat juang yang tinggi. Sehubungan dengan itu, Dato’ Saifuddin Abdullah membawa kerangka idealisme, intelektualisme dan aktivisme dalam buku ini di mana beliau telah menukarkan tiga kerangka itu kepada 3 idea utama dan baru dalam politik iaitu politik ilmu, politik hikmah dan politik bakti.
Politik Ilmu
Ilmu sangat penting dalam kehidupan kita kerana melalui ilmu, kita banyak membangun dan mendidik jiwa dan pemikiran kita ke arah yang lebih baik dan bermanfaat untuk orang lain. Ilmu jika dihayati dan tidak difahami dengan baik dan tidak diselewengkan, maka akan berlaku musibah besar dimana ilmu itu akan disalah guna untuk kepentingan peribadi. Misalnya seorang pemimpin mahu dipandang sebagai intelektual dengan mendapatkan gelaran Doktor dan sebagainya semata untuk ilmu yang beliau dapat tetapi tidak dimanfaatkan dengan baik. Perkataan ilmu berasal daripada bahasa al-Quran iaitu ‘ilm, mempunyai sandaran, sama ada dari segi tradisi ataupun hujah yang jauh lebih kuat. Sebagai asasnya, dianjurkan supaya digunakan takrif ilmu yang diungkapkan ilmuwan Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, “Ilmu ialah ketibaan sesuatu makna, hasil daripada maklumat yang benar ke dalam diri seseorang”. Bermakna ilmu itu tidak sama dengan maklumat bahkan lebih tinggi tarafnya daripada maklumat kerana maklumat tidak membawa kepada makna. Menurut Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud dalam bukunya Penjelasan Budaya Ilmu, ilmu itu akan bermakna jika diamalkan dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Makna menghayati budaya ilmu itu adalah mampu menjadikan ilmu itu sebagai asas kepada gerakan untuk menterjemahkan ilmu tersebut dalam aktiviti harian kita. Misalnya budaya bermusyawarah atau bermesyuarat, membuat keputusan, pengurusan dan perancangan dan sebagainya yang akhirnya memberi impak kepada seluruh aspek hidup dan bermanfaat kepada diri sendiri dan orang lain.
Maka disebabkan oleh itu, ilmu sangat penting untuk membentuk individu. Rasulullah S.A.W bersabda, “Menuntut ilmu itu adalah kewajiban kepada setiap muslimin dan muslimah”. Dalam membuat sebarang keputusan yang berkaitan dengan negara juga harus ada ilmu. Jika tidak mempunyai ilmu, maka keputusan yang dibuat adalah keputusan yang tidak relevan dan tidak membawa kepada sebarang kebaikan. Maka dalam soal kepimpinan itu, ilmu sangat ditekankan. Dalam al-Quran juga tuntutan untuk menuntut ilmu ditekankan. “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam. Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.” Surah Al-Alaq, ayat 1-5.
Dalam politik juga, ilmu harus diletakkan ditempat yang sewajarnya. Seorang pemimpin yang berilmu harus juga diletakkan pada tempat yang betul kerana natijahnya dapat menghasilkan impak yang positif. Menurut penulis buku ini, ilmu adalah asas kepakaran. Tanpa ilmu, seseorang mungkin tidak pakar untuk melakukan sesuatu perkara. Persoalan kini adalah adakah pemimpin kita mempunyai kepakaran yang mendalam dalam sesuatu bidang atau cuma menjadi ‘pemimpin terjun’? Dari soal keilmuan rasanya kini kita ketandusan pemimpin yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang atau menurut Gardner multiple intelligence atau multiple skills. Melalui kepakaran ini, maka akan lahirlah output atau hasil yang luar biasa yang biasa kita terjemahkan sebagai profesional di mana sesuatu kerja itu dibuat secara teratur, kemas dan memberi impak kepada seluruh organisasi.
Ilmu juga merupakan asas kepada idealisme, mempunyai jatidiri yang utuh dalam mempertahankan prinsip yang benar. Apabila kita mempunyai ilmu, maka secara tidak langsung kerangka pemikiran kita, jatidiri kita akan terbina. Jika pemimpin itu tidak berpegang kepada satu prinsip, maka seorang pemimpin itu tidak mempunyai arah tuju yang tetap. Maka seharusnya kita sebagai ahli gerakan Islam, khalifah Allah di muka bumi ini dan hamba Allah seharusnya mempunyai matlamat dan idealisme dalam hidup. Antaranya adalah untuk menjadi umat yang terbaik atau khayra ummah seperti mana Firman Allah S.W.T dalam Surah Ali Imran, ayat 110. “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik”. Maka melalui pegangan visi dan misi yang kuat akan tercetusnya idealisme di mana seseorang itu mampu membuat keputusan yang terbaik berdasarkan prinsip yang benar yang telah dipegang setelah mendapat ilmu yang bermanfaat. Seharusnya pemimpin mempunyai pendirian yang kukuh dan ilmu yang benar agar seseorang itu mampu menjadi pemimpin yang terbaik buat dirinya, keluarganya dan masyarakat.
Menurut penulis buku ini, seseorang pemimpin itu harus menjadi ilmuwan dan intelektual yang sejati yang dapat menjadi penyuluh yang menerangi setiap benda yang ada disekelilingnya yang akhirnya membawa manfaat dan kebaikan kepada masyarakat dan negara, yang akhirnya menjadi khalifah yang memakmurkan bumi.



9:28 PM
Zikri Zainudin


0 comments:
Post a Comment