MASA DEPAN GENERASI NET
Oleh
Mohd Zikri Zainudin,
Pelajar Tahun Akhir Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kaunseling),
Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) Kampus PINTAR Sabah
Pendahuluan
Beberapa generasi sudah berkembang dan kini sudah mencapai generasi Net. Generasi sebelum ini dikenali sebagai generasi X (1965-1976). Generasi Y (1977-1999) menurut Don Tapscott adalah generasi Net. Menurut Don Tapscott, Generasi Net adalah satu generasi yang mempunyai banyak kemudahan teknologi yang pesat di mana berlaku ledakan maklumat yang pantas dan tepu[1]. Generasi ini juga adalah generasi yang banyak menggunakan alat teknologi untuk berhubung dan berinteraksi antara satu sama lain. Pengunaan telefon bimbit, Personal Digital Asistant (PDA), iPod, iPhone dan sebagainya menjadi rutin harian yang tidak boleh ditinggalkan. Malahan ada yang sanggup mengeluarkan belanja lebih untuk memiliki teknologi ini. Pastinya dengan adanya teknologi ini mempunyai kebaikan dan keburukan. Namun begitu bergantung kepada individu untuk memikirkan kesan dan akibat daripada penggunaan teknologi berlandaskan ilmu yang benar dan penggunaan yang benar untuk membawa kepada kesejahteraan sejagat.
Menurut Ustaz Hasrizal Jamil (Saiful Islam.com) menyatakan bahawa ini adalah generasi iPod yang menggunakan bahasa iPod, bahasa yang hanya difahami oleh generasi Net kini. Maka apabila dilihat, maka banyak cabaran yang dilalui oleh generasi Net ini jika kita melihat impak pada masa akan datang. John Kotter dalam bukunya ‘Our Iceberg Is Melting: Changing and Succeeding Under Any Conditions’ menyatakan bahawa untuk mendepani cabaran yang mendatang, maka persediaan awal perlu dibuat dan perlu dirancang agar cabaran tersebut dapat diatasi dan diselesaikan. Persediaan minda, jiwa, rohaniah dan fizikal dapat menghadapi cabaran sangat perlu untuk kita mudah mengubah sesuatu keadaan. Maka perubahan sangat perlu ditekankan untuk menghadapi kemungkinan yang tidak menentu[2].
Cabaran Generasi Net
Menurut Don Tapscott, generasi Net ini bakal menghadapi beberapa cabaran utama. Antaranya yang sudah dirasai kini oleh generasi Net adalah terlalu selesa dengan keadaan dan persekitaran semasa membuatkan generasi Net ini kurang peka terhadap isu semasa dan menebalnya sikap ‘Tidak Mengapa’. Ini menyebabkan generasi Net kurang idealisme dan kurangnya rasa simpati terhadap masalah yang timbul dalam persekitaran yang akhirnya menyebabkan generasi Net ini bersifat individualistik.
Generasi Net ini juga akan membawa sifat materialistik disebabkan kebergantungannya dan keinginan yang tinggi terhadap sesuatu alat elektronik atau teknologi untuk memudahkan tugas seharian. Tidak salah menggunakan teknologi yang ada tetapi kita haruslah memanfaatkan sebaiknya teknologi dan kemudahan yang ada untuk digunakan bagi tujuan yang membawa manfaat kepada manusia sejagat. Kebergantungan yang tinggi terhadap teknologi ini akhirnya menyebabkan sifat malas dan tidak mahu berusaha dalam kalangan generasi Net. Mereka merasa lebih selesa jika mereka berada di hadapan komputer di dalam sebuah bilik dan berinteraksi dalam laman web sosial seperti Facebook, MySpace, Twitter dan sebagainya. Mereka lebih banyak berinteraksi dalam ruang maya berbanding berinteraksi di ruang reality. Ini juga menyebabkan bahawa generasi Net ini kurang beraktiviti dan kurang sifat progresif dan aktivisme. Kurangnya interaksi dalam masyarakat menjadikan mereka generasi yang individualistik. Bagi mereka, masa bersosial diperuntukkan apabila mereka ingin mendapatkan hiburan dan melepaskan stress yang mereka alami.
Don Tapscott menyatakan bahawa generasi Net ini adalah ‘The Dumbest Generation’ disebabkan oleh kurangnya penekanan soal adab dan nilai-nilai murni dalam generasi Net. Generasi Net dilihat sebagai generasi yang mempunyai ilmu tetapi tidak mengamalkan dan memanfaatkan ilmu yang ada untuk kesejahteraan sejagat. Menurut Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, budaya ilmu yang sebenarnya adalah apabila seseorang mendapat ilmu yang benar yang diperolehi daripada pancaindera yang murni yang kemudiannya diterjemahkan dan diamalkan dalam kehidupan seharian untuk manfaat sendiri dan orang lain[3]. Untuk membudayakan ilmu juga, soal adab sangat ditekankan. Jika kita lihat kepada warisan orang-orang dahulu yang ditinggalkan kepada kita, banyak adab dan adat yang telah mereka buat dan menjadi amalan zaman berzaman sehingga kini. Amalan memberi salam kesejahteraan, membongkokkan badan apabila melintas dihadapan orang tua dan sebagainya mempunyai falsafah yang tersendiri dan ini dilakukan untuk menghormati dan juga menjaga perhubungan dan tali silaturrahim yang wujud dalam kalangan masyarakat ketika itu.
Memperkasa dan Merimbun Generasi Net
Untuk memperkasa generasi Net ini, terdapat tiga perkara asas yang boleh diperkukuhkan dan sentiasa diperkemaskan. Dato’ Saifuddin Abdullah[4] menyatakan bahawa terdapat tiga idea dan asas penting untuk memperkasakan dan merimbun generasi Net iaitu idealisme, intelektualisme dan aktivisme. Idealisme melibatkan jiwa dan rohaniah seseorang. David J. Schwartz menyatakan bahawa salah satu cara untuk memperkasa idealisme ini adalah dengan berjiwa besar dan berjiwa merdeka. Jiwanya tidak terkongkong dengan hal-hal yang berbentuk picisan dan tidak membawa manfaat kepada dirinya dan orang lain. Jiwanya sentiasa bersifat besar, mampu berfikir secara besar, mampu merancang secara besar dan mampu untuk melakukan sesuatu yang besar kerana jiwanya sudah menjadi besar untuk mencapai matlamat yang dicitakan. Oleh yang demikian, generasi Net harus mempunyai persediaan yang rapi dan strategik dalam menghadapi cabaran semasa yang tidak menentu. Riwayat hidup Sultan Muhammad al-Fatih harus dijadikan iktibar buat generasi Net kerana melalui perancangan awal dan strategik, Sultan Muhamamd al-Fatih telah berjaya ‘membuka’ Kota Konstantinople. Begitu juga Sultan Salahuddin al-Ayubi yang berjaya ‘membuka’ Jerussalem tanpa melakukan pertumpahan darah. Inilah generasi yang berjiwa besar dan berjiwa merdeka.
Intelektual juga penting dalam membina generasi yang berkebolehan dan melahirkan modal insan yang berkualiti. Relatifnya intelektual pasti akan berkaitan soal ilmu. Oleh yang demikian, ilmu sangat penting dalam membina pandangan alam seseorang. Melalui ilmu juga kita mampu untuk mencambahkan pemikiran kita kepada hal-hal yang penting yang mencakupi kehidupan seharian kita. Semua agama menekankan soal menuntut ilmu. Dalam al-Quran sendiri, Allah S.W.T. berfirman dalam Surah al-‘Alaq, ayat 1-5, “Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan, Yang mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”. Ini juga ditekankan dalam satu hadith Rasulullah S.A.W, “Sesiapa yang menginginkan kejayaan dunia, maka dia memerlukan ilmu. Sesiapa yang menginginkan kejayaan akhirat, maka dia juga memerlukan ilmu. Sesiapa yang menginginkan kejayaan dunia dan akhirat, maka dia memerlukan ilmu”. Oleh yang demikian, ilmu sangat penting dalam soal pembinaan generasi. Kita lihat saja generasi yang tidak membudayakan ilmu adalah generasi yang tidak membangun dari segi jiwa, rohaniah, jasmaniah dan intelektualnya. Tamadun Greek dan Tamadun Kegemilangan Islam adalah contoh tamadun keilmuan yang telah menyuburkan budaya ilmu dalam generasinya. Cabaran untuk generasi Net ini adalah bagaimana mereka mampu untuk menapis ilmu yang diperolehi untuk mencari ilmu yang benar yang dapat membawa mereka kepada kebenaran. Ini dapat dilakukan dengan memurnikan pancaindera kita dan akal kita untuk menerima ilmu agar ilmu yang kita perolehi akan menjadi ilmu yang benar yang bermanfaat buat diri kita dan orang lain.
Untuk memperkasa dan memantapkan generasi Net juga, soal aktivisme juga penting untk membina suatu generasi. Generasi yang ketiadaan aktivisme seperti hilang tempo dalam satu alunan muzik yang menyebabkan muzik tersebut kurang menarik dan tidak dinamik. Maka generasi Net harus menjadi generasi yang dinamik yang mampu untuk membawa kepada pengislahan (pembaikan) dalam masyarakat. Oleh yang demikian, generasi yang akan datang harus mengambil tiga perkara penting yang dinamakan sebagai RED Code iaitu Reach Out, Explore dan Define. Ketiga-tiga aspek ini penting untuk mewujudkan sifat aktivisme dalam generasi Net. Reach Out bermakna seseorang itu harus berusaha untuk mencari solusi kepada permasalahan yang timbul dalam kalangan masyarakat serta keluar untuk berada dalam masyarakat. Ini bermakna mereka tidak boleh berada dalam keadaan yang static, tetapi harus berada dalam keadaan yang dinamik. Keadaan semasa memerlukan seseorang untuk melakukan beberapa tugasan dalam satu masa atau kita namakan sebagai ‘multi tasking’. Ini bermakna seseorang itu haruslah mampu menjadi seorang yang dinamik. Explore pula membawa maksud mengkaji, mendalami dan proses memahami sesuatu perkara. Generasi Net adalah generasi yang suka mencuba sesuatu yang baru. Maka dengan mengkaji dan memahami satu proses dan perkara yang baru, maka secara tidak langsung akan melahirkan kreativiti dan inovasi dalam generasi Net. Manakala Define pula bermaksud membawa makna kepada aktiviti seharian yang kita jalankan. Setiap pekerjaan dan perbuatan yang kita lakukan haruslah bersebab dan mempunyai manfaat yang baik kepada diri dan orang lain. Melalui Define juga, seseorang juga mampu untuk membuat retrospektif (muhasabah) untuk sentiasa memperbaiki segala amalan yang telah diperbuat.
Kesimpulan
[1] Don Tapscott, 2006, Grown Up Digital: How The Net Generation Is Changing Your World, McGraw-Hill
[2] John Kotter& Holger Rathgeber, 2005, ‘Our Iceberg Is Melting: Changing and Succeeding Under Any Conditions’, MacMillan
[3] Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, 1996, Penjelasan Budaya Ilmu, Dewan Bahasa dan Pustaka.
[4] Beliau merupakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan pernah menjadi Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).



7:17 PM
Zikri Zainudin


0 comments:
Post a Comment