Tuesday, July 19, 2011

Dekorasi Diri Anda


Pengalaman belajar di UiTM Shah Alam dalam bidang Reka Bentuk Dalaman banyak mempengaruhi minat dan jiwa saya. Banyak yang saya pelajari walaupun cuma dua semester, cukup memahamkan saya tentang konsep asas Reka Bentuk atau dalam bahasa yang mudah difahami, 'Design'. Dalam Design, apa yang penting adalah Ruang atau 'Space'. Ini adalah konsep asasnya. Yang menjadikan ruang kita luas, redup, ceria dan sebagainya disebabkan oleh ruang dan cara kita mengolah dan memaksimakan penggunaan ruang. Saya masih ingat lagi tugasan yang perlu saya lunaskan iaitu dengan merekabentuk satu ruang yang kosong berbentuk segi empat tepat untuk diisi dan dimanfaatkan sepenuhnya ruang yang ada. Yang penting ruang tersebut praktikal dan boleh dimanfaatkan oleh penggunanya. Saya masih ingat lagi, cabarannya cukup besar kerana ruang yang diberikan cukup terhad. Saya dikira telah berjaya memanfaatkan ruangan yang ada dengan membuat ruang dapur yang praktikal yang mana tidak memerlukan meja makan, hanya menggunakan 'island', istilah yang digunakan dalam 'interior design' di mana 'island' ini mempunyai banyak fungsi (multifunctional) iaitu untuk membuat kerja dapur, memotong sayur dan sebagainya disamping boleh menjadi tempat untuk makan yang tidak formal.

Tulisan kali ini bukan semata-mata mengupas tentang pengetahuan saya yang masih cetek dalam bidang 'interior design', tetapi saya cuba untuk mengaitkannya dengan pembinaan insan, pembinaan aqal dan pembinaan jiwa berlandaskan al-Quran dan al-Hadith. Terdetik ingin menulis setelah menonton "The Oprah Show" yang membincangkan tentang ruang. Mengikut apa yang saya pelajari dalam 'interior design', ruang adalah perkara paling asas dan penting. Ia dapat membina persepsi dan perspektif seseorang mengenai sesuatu perkara. Ruang juga menjadikan seseorang itu dapat berhubung dengan ruang-ruang yang ada yang dapat mewujudkan rasa dan emosi. Justeru, manusia juga mempunyai ruangnya. Allah menciptakan manusia ini penuh dengan hikmah. Apabila membaca satu buku karya Imam al-Ghazali, "Wonder of Heart" dalam bahasa Inggeris, manusia mempunyai empat 'ruang' penting atau elemen iaitu Roh, Nafs (Jiwa), Aqal dan Qalb (Hati). Setiap ruang ini perlu diisi dan dimanfaatkan sepenuhnya. Perlu 'didekorasi' dengan baik berlandaskan al-Quran dan al-Hadith serta akhlak Islamiah. Oleh yang demikian, kaedah dan cara 'dekorasi' itu sangat penting, perlu dilaksanakan dengan hikmah agar ruang tersebut berada ditempat yang wajar di mana setiap ruang tersebut memenuhi peranan yang telah diatur oleh Perekanya. Seperti yang pernah diperkatakan oleh Prof. Dr. Muhammad Syed Naquib Al-Attas, ilmuwan tersohor bahawa adil itu bermakna meletakkan sesuatu di tempat yang sewajarnya, maka ruang yang wujud harus diletakkan ditempat yang betul, dalam peranan dan tanggungjawab yang wajar dan sesuai, bukan diluar kapasiti atau tidak dapat berperanan dalam ruang tersebut. Dalam konteks insan, peranan dan tanggungjawab yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada kita harus dilaksanakan mengikut syariat yang telah Allah tetapkan dan sunnatullah itu sebagai satu fitrah yang ada dalam setiap ciptaanNya.

Seperti ruang tamu, harus dihiasi dan didekorasi dengan sofa dan kerusi yang bersesuaian, mengikuti kepada citarasa penggguna tetapi masih dibatasi dengan peranan ruang tersebut iaitu untuk pengguna tersebut istirehat dan mengeratkan silaturrahim. Bilik bacaan harus didekorasi dengan almari buku, meja bacaan dan lampu bacaan sesuai dengan kewajaran dan peranannya dalam ruang tersebut. Bilik tidur yang harus didekorasi dengan katil, almari baju, meja berhias dan sebagainya agar ruang tersebut selesa untuk penggunanya untuk tidur. Seorang insan juga harus 'mendekorasi' dirinya, harus memenuhi empat ruangan utama yang telah Imam al-Ghazali nyatakan. Rohnya harus 'didekorasi' dengan tauhid, kerinduan kepada Yang Maha Esa serta memenuhi fitrah sebagai seorang insan yang cenderung kepada kebenaran. Nafs (Jiwa) 'didekorasi' dengan jiwa mut'mainnah, jiwa yang sentiasa mengingatiNya pada setiap detik, masa dan ketika. Aqal 'didekorasi' dengan ilmu yang benar, yang membawa kepada makrifatullah, kepada mengenal Tuhan Yang Maha Pencipta. Qalb (Hati) 'didekorasi' dengan cahaya keimanan (nur iman) dan ketauhidan kepada Yang Maha Esa yang membawanya kepada kebenaran hakiki, yang memandu kehidupan sehariannya dengan matlamat kehidupan sebagai hamba (Az-Dzariyat: 56) dan khalifah di muka bumi (Al-Baqarah: 30). Dihiasi dengan Fikir dan Zikir (Berfikir tentang hikmah ciptaan Allah s.w.t dan mengingati Allah dengan sentiasa berzikir, tadabbur al-Quran). Ibadah itu tidak cuma terbatas dengan solat fardhu dan sebagainya, malahan apa yang kita lakukan termasuk mengemaskini status di Facebook (dalam konteks masa kini) di kira sebagai ibadah jika kita memanfaatkannya dengan sewajarnya dengan memberikan nasihat dan peringatan serta memberi khabar gembira (Bashira Wa Nazira). Yang penting adalah niatnya. Dalam Hadith Arba'in (Hadith 40) karya Imam Nawawi, bab pertama yang dibincangkan adalah berkenaan dengan niat. Niat kita harus ikhlas disandarkan kepada Rabbul Izzati.

Begitu seorang insan yang ada peranan dan tanggungjawab harus 'mendekorasi' dirinya, memenuhi ruangnya dengan tanggungjawab dan amanah yang telah digalaskan kepadanya oleh Rabbul Izzati. Maka kita harus patuh kepada Pencipta kita yang Mencipta kita dengan penuh kesempurnaan. Oleh yang demikiran, saya menyeru diri saya dan sahabat-sahabat untuk memenuhkan ruang tersebut dengan penuh amanah dan dedikasi, sesuai dengan kewajaran dan peranannya agar kita dapat menjadi insan yang menjadi Qudwatun Hasanah, contoh kepada yang lain yang menggalas tanggungjawab tersebut dengan penuh sabar dan redha.


*Sudah lama tidak menulis. Sekiranya ada kesilapan dalam penulisan ini harap dapat diperbetulkan.

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Hosting